Ahad, 16 September 2012

KANAK-KANAK OBESITI: TIDAK SEKADAR PERANAN PIHAK SEKOLAH

 




































Masalah obesiti yang membelenggu ramai kanak-kanak masa kini merupakan masalah kesihatan yang serius. Obesiti bukan sesuatu yang baik terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Tentu saja ia berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang dengan keperluan diri mereka. Apatahlagi jika makanan yang diambil itu bukanlah bersumberkan nutrisi yang sepatutnya malah memberi kesan buruk terhadap diri mereka.  Semua ini berpunca daripada pengambilan makanan ringan seperti gula-gula, coklat, air bikarbonat, jajan dan lain-lain. Selain itu makanan makanan segera juga turut menyumbang kepada masalah itu yang kebanyakannya kaya dengan minyak dan garam yang tinggi.

Ada dua isu yang dibangkitkan melalui laporan itu iaitu desakan kepada pengusaha kantin atau koperasi di sekolah-sekolah supaya tidak menjual makanan ringan dan makan makanan segera serta penjaja-penjaja yang berada di sekitar pagar sekolah. Yang keduanya adalah cadangan supaya berat badan murid diukur dan dicatatkan oleh pihak sekolah setiap bulan yang tentu saja bersandar kepada guru kelas.

Persoalannya di sini, mengapa tindakan-tindakan itu ditujukan kepada sekolah yang dilihat sebagai satu cara mengekang nafsu makan murid yang memang sukakan makanan-makanan sedemikian? Tidakkah diperhatikan bahawasanya didikan kepada anak-anak untuk menghindarkan makanan ringan dan makanan segera di rumah juga adalah perlu malah harus lebih ditekankan lantaran banyak masa mereka berada di rumah berbanding sekolah.

Tidak dinafikan kedapatan penjualan makanan ringan dan makanan segera di premis sekolah, tetapi ia tidaklah begitu serius bahkan penjualannya adalah terhad. Ini disebabkan pihak pentadbiran sekolah sendiri akan memantau penjualan makanan kepada murid selain keprihatinan daripada ibu bapa murid yang sentiasa membuat laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap penjualan makanan di sekolah-sekolah. Manakala kepada penjaja-penjaja di luar pagar, ia berada di luar bidang kuasa pentadbiran sekolah  dan ianya memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk menanganinya.

Soalnya, mengapa tidak dinyatakan juga perkara yang sama kepada ibu bapa supaya menjaga pemakanan anak-anak mereka? Sebenarnya latihan di rumah amat penting lebih-lebih lagi dipupuk sedari kecil supaya mereka terdidik dan terbiasa untuk menghindari makanan ringan dan makanan segera. Dalam pada mengelakkan mereka dengan makanan-makanan tidak berkhasiat itu, berikan juga maklumat pemakanan yang betul kepada mereka mengikut tahap yang sesuai. Kadang kala menegah itu akan menimbulkan persoalan di fikiran mereka, jadi dengan hikmah ibu bapa boleh menerangkan serba sedikit tentang pemakanan yang betul kepada mereka. Jika di sekolah, sememangnya mereka diberi pendedahan. Namun, apabila di rumah ibu bapalah yang harus memastikan apa yang dipelajari murid diamalkan sebaiknya.

Bila mana anak-anak telah dilatih sebegini maka ia tidak lagi menjadi masalah tatkala mereka berada di mana-mana saja pun. Dalam tahap ini, tentu ibu bapa tidak akan risau malah boleh mempercayai anak-anak mereka sendiri dalam membelanjakan wang membeli makanan di sekolah atau di mana saja pun. Jangan pula menunding jari kepada sekolah semata-mata seolah-olah memperlihatkan masalah obesity murid adalah berpunca daripada sekolah.

Berkenaan cadangan supaya pihak sekolah mencatatkan berat badan murid untuk setiap bulan, kelihatan satu cadangan yang meluaskan skop tugas guru itu sendiri. Memang selama ini pihak sekolah melalui guru kelas ada merekodkan berat badan dan ketinggian murid, tetapi bukanlah untuk setiap bulan seperti mana yang dicadangkan. Catatan untuk dua kali setahun dilihat sudah cukup dan untuk melakukannya setiap bulan boleh jadi ia menambah lagi kepelbagaian tugas guru masa kini. Apa kata ibu bapa di rumah juga mengambil inisiatif untuk memantau berat badan anak-anak mereka agar pencegahan langsung dapat dilakukan bagi mengelakkan berlakunya masalah obesiti kepada anak-anak mereka.
 
Kesimpulannya, setiap hal berkaitan kanak-kanak tidak seharusnya menjadi tanggungjawab sekolah semata-mata. Pihak ibu bapa dan masyarakat amnya seharusnya bersama-sama membantu untuk memastikan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dapat di atasi. Peranan daripada pihak kerajaan melalui kementerian kesihatan dan agensi lain yang berkelayakan juga harus diwujudkan. Tentu sahaja penjelasan lanjut mengenai pemakanan sihat boleh diberikan melalui anjuran pelbagai program dalam kempen untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Semua itu adalah atas satu matlamat yang sama, demi melahirkan generasi yang cerdas dan cergas dan tentu saja dengan akal yang cerdas dan fizikal yang cergas itu adalah hasil daripada sumber pemakanan yang baik.
 
 

Sabtu, 15 September 2012

NUTRIEN DARIPADA PEMAKANAN SEIMBANG

Pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang hendak dimakan dengan tujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul. Kekurangan nutrien boleh menyebabkan berlakunya malnutrisi.


Karbohidrat

Karbohidrat menyediakan sumber tenaga yang utama yang diserap segera ke dalam sistem tubuh manusia. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50% daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia. Karbohidrat terdiri daripada gula (gula, glukos, sirap, madu, laktos), kanji (tepung gandum, kanji, kentang, ubi kayu dan kanji tulin koko) dan beberapa selulosa, gam dan pektin. Karbohidrat banyak terdapat dalam bijiran seperti beras, gandum, dan sepertinya.

Protein

Protein mengandungi beberapa zat seperti asid amino. Protein kelas pertama kebanyakannya boleh diperolehi daripada haiwan. Sementara protein sayuran pula mengandungi protein kelas kedua dan sedikit protein kelas pertama.

Lemak

Lemak menyediakan lebih dua kali ganda nilai kalori yang diperolehi daripada karbohidrat dan menjadi sumber utama lemak tubuh. Sebenarnya lemak penting kepada manusia kerana merupakan tenaga yang tersimpan di dalam tubuh yang diperlukan untuk menjalankan sebarang aktiviti.Selain itu,lemak berperanan sebagai penebat dengan menghalang haba keluar daripada badan dan membantu memanaskan badan apabila seseorang terdedah kepada suhu persekitaran yang terlalu sejuk. Secara purata, lemak membekalkan 355 daripada pengambilan tenaga. Lemak juga mengandungi vitamin larut lemak dan asid lemak yang penting kepada penyatuan selaput sel.
Pengambilam lemak yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan badan.Hal ini kerana lemak yang tidak digunakan akan disimpan dalam badan dan menyebabkan berat badan bertambah dan menjadikan seseorang itu gemuk.Lemak yang berlebihan juga boleh menyebabkan saluran arteri tersumbat dan menyebabkan penyakit jantung koronari.

Galian

Zat galian yang mengandungi kompaun bukan organik yang penting kepada pemakanan manusia. Ia berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral banyak terdapat dalam susu dan telur. Ia juga banyak terdapat dalam buah dan sayuran.

Vitamin

Vitamin adalah bahan kimia yang terkandung dalam kebanyakan makanan. Ia membantu tubuh mengurai dan menggunakan unsur asas makanan, protein, karbohidrat dan lemak. Sesetengah vitamin turut terbabit dalam penghasilan sel darah, hormon, bahan genetik dan kimia dalam system saraf. Tidak seperti karbohidrat, protein dan lemak, vitamin dan mineral tidak membekalkan kalori tetapi membantu badan mendapatkan tenaga dari tubuh. Maka pengambilan protein amat penting untuk kesihatan tubuh badan.

Serat

Serat atau serabut dalam diet permakanan membantu penghadaman dan mengelak sembelit. Sayuran dan buah segar (termasuk buah kering) dan bijiran merupakan sumber serat penting. Untuk meningkatkan kebaikan serat, amat penting untuk minum banyak air.

Khamis, 6 September 2012

GOTONG ROYONG PERSIAPAN



Pengenalan:

Program gotong-royong ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan yang menggabungkan kerjasama antara Unit Kantin dan Pengusaha kantin. Program ini sebenarnya telah dirancang untuk dijalankan pada bulan Mei, namun atas kekangan masa, program ini akhirnya terlaksana dijalankan pada 5 September 2012 pada hari Rabu jam 3.30 petang. Ia juga bertitik tolak daripada surat yang dikirimkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Selangor yang memaklumkan kantin sekolah ini terpilih untuk mewakili Daerah Sepang ke pertandingan kantin terbersih dalam kategori bandar.


Matlamat:

Memberishkan dan menceriakan kantin untuk memenuhi piawaian ke pertandingan kantin terbersih peringkat Negeri Selangor.



Objektif:

-        Memastikan kantin sentiasa dalam keadaan bersih dan ceria.
-        Melengkapkan kantin dengan bahan-bahan ilmu
-        Mencetuskan sikap bertoleransi dan tolong menolong antara pihak sekolah dan pengusaha kantin.

Kekuatan:

Secara keseluruhan, program gotong royong ini berjalan dengan baik. Antara faktor penyumbang kepada keberkesanan program ini adalah seperti berikut:

-        Pengagihan tugasan diberikan secara sistematik dan teratur serta wujud keadaan saling berteloransi dan bekerjasama antara satu sama lain.

-        Kerjasama daripada pihak penguasa kantin yang turut serta dalam program ini untuk mencapai misi yang sama iaitu mendapat Johan dalam pertandingan ini.

-        Sikap positif semua pihak yang terlibat untuk melaungkan masa dan tenaga dalam program ini teritamanya dengan sokongan moral oleh pihak pentadbir.


Kelemahan:

Walaupun program gotong royong ini berjaya dilaksanakan, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diambil perhatian. Kelemahan-kelemahan itu adalah seperti berikut:

-        Kekangan masa dan waktu untuk meluangkan lebih banyak masa dalam program sekitar 2 jam ini.

-        Kekangan kewangan untuk mendapatkan bahan bagi mencerikana lagi kawasan persekitaran kantin.

-        Tiada kerjasama antara guru dan murid seperti mana program gotong-royong pada tahun sebelumnya kerana pada waktu ini murid dalam persediaan untuk menduduki peperiksaan dan ujian bulanan.

Cadangan penambahbaikan:

Daripada kekuatan dan kelemahan daripada program gotong royong yang telah dijalankan, terdapat beberapa cadangan penambaikan bagi memastikan program sebegini yang akan dijalankan pada masa depan memberi impak yang besar dan menyeluruh:

-        Peralatan dan sumber kewangan yang mencukupi.

-        Kerjasama antara guru-pengusaha kantin-murid untuk mewujudkan sikap kerjasama antara wakga sekolah.


-        Dapatkan kerjasama daripada pihak lain seperti ibubapa murid dan masyarakat setempat. Ini disebabkan sekolah merupakan premis awam yang perlu dijaga oleh semua pihak.


Kesimpulan:

Daripada program gotong royong yang dilaksanakan ini diharapkan semua pihak yang terlibat terutamanya dari kalangan guru dan murid supaya dapat mengambil inisiatif untuk terus menjaga dan memelihara kebersihan sekolah. Dengan keberkesanan program ini diharapkan akan ada program-program lain sebegini dapat dilaksanakan supaya setiap warga sekolah dapat memahami betapa mengekalkan kebersihan ini amat penting bagi memastikan kehidupan lebih selesa tanpa adanya masalah pencemaran dan penyakit yang berpunca daripada masalah tidak menjaga kebersihan persekitaran.