Memaparkan catatan dengan label PENGUSAHA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENGUSAHA. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Ogos 2013

Pemantauan Anugerah BESS

Jumaat, 23 Ogos 2013, Puan Suraya Hanim selaku Pegawai Pemakakan PKD Sepang telah melawat ke Seri Ilham, Kantin SKTS dengan beberapa tujuan. Tujuan utama adalah untuk mempromosikan Anugerah BESS kepada premis dan penguasaha kantin di mana ia bermatlamatkan untuk memberi pengiktirafan kepada kantin yang layak. Anugerah BESS merupakan singakatan kepada 'BErsih Sihat Selamat' yang asalnya adalah sasaran kepada penjaja-penjaja dan pengusaha restoren, namun sebagai permulaan, pencalonan diambil menerusi kantin-kantin sekolah yang telah mengikuti prosuder tertentu dan memenuhi piawaian yang ditentukan. Oleh kerana kantin SKTS telah menerima pelbagai prosuder pemantauan sama ada untuk rutin pemeriksaan daripada PKD atau persediaan ke pertandingan kantin bersih peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, maka pihak PKD terus mencalonkan kantin ini untuk mendapatkan Anugerah BESS tersebut.

Selain itu, kehadiran Puan Suraya Hanim juga adalah untuk memaklumkan maklumat lanjut mengenai Majlis Anugerah Kantin Bersih Peringkat Kebangsaan 2013 yang bakal dilangsungkan di Mariot Hotel, Putrajaya pada 5 September 2013. Untuk majlis ini, SKTS perlu menghantar 8 orang wakil yang terdiri daripada pentadbir, AJK PIBG, pengusaha kantin, penyelaras Unit Kantin serta 4 orang murid. Pihak sekolah dimaklumkan sebanyak dua buah bas kelolaan PPD dengan kerjasama PKD akan disediakan. Besar harapan daripada seluruh warga SKTS dan warga kerja PKD Sepang agar kantin SKTS akan mendapat tempat dalam kategori-kategori yang telah dinilai sebelum ini.





Selasa, 30 April 2013

Laporan Pemantauan Pertandingan Kantin Bersih dan Sihat Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2



PENDAHULUAN:
Kantin SK Taman Seroja telah menerima kunjungan daripada pasukan pemantau sekaligus penjuri yang terdiri daripada lima orang pegawai mewakili Kementeria Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk memantau kantin bagi penjurian kantin terbersih peringkat kebangsaan kali kedua. Pemantauan pada kali ini juga sebagai sesi untuk mengesahkan laporan pemantauan di peringkat kebangsaan yang telah dijalankan pada November 2012 yang lepas.
Kehadiran mereka amat dialu-alukan setelah pihak sekolah mendapat maklumat di saat-saat akhir daripada Pegawai Pelajaran Daerah, Cik Rohaya Jaafar dan Pegawai Kesihatan Daerah, Puan Suraya Hani yang memaklumkan kantin SK Taman Seroja bakal dibuat penjurian setelah dipercayai tersenarai dalam lima teratas dalam kategori kantin sekolah bandar yang tercalon untuk dibawa ke peringkat kebangsaan.
Terdahulu, kehadiran pasukan pemantau telah dibawa ke ke bilik gerakan sekolah untuk sesi suaikenal dan taklimat mengenai pengurusan kantin dan gambaran kantin secara umum sebelum pemantauan dan penilaian dilakukan. Slot selama 30 minit dilihat sebagai cara untuk pihak sekolah mempromosi kantin sekaligus membentangkan latar belakang kantin, pengurusan unit dan fail serta menjelaskan program-program pembangunan yang telah dijalankan sepanjang tiga tahun kebelakangan. Seterusnya proses pemantauan dan penilaian ke premis kantin diteruskan oleh pegawai pemantau dengan diiringi oleh murid-murid daripada Kelab Doktor Muda.
Dalam sesi ini, selepas bacaan doa, Puan Hajah Noredzan selaku guru besar telah membuat ucapan alu-aluan sebelum ucapan ketua pasukan yang menjelaskan tujuan sebenar kehadiran mereka pada hari itu. Selepas itu, para hadirin telah mendengar taklimat mengenai kantin oleh Encik Mohd Suhaimi selaku penyelaras Unit Kantin melalui pertunjukan slid selama 10 minit.
Seterusnya, selepas sesi taklimat berakhir, sesi penjurian dimulakan dengan menemuduga AJK Kantin dalam kalangan lima orang guru serta 10 orang wakil murid dalam kalangan murid Tahun Lima dan Tahun Enam. Pelbagai persoalan ditanya terutamanya mengenai aspek pengurusan kantin dan makanan yang dijual di kantin. Selepas 20 minit, pasukan pemantaun beredar ke kantin untuk membuat tinjauan seterusnya. Berikut merupakan laporan yang diterima daripada pihak pemantau hasil daripada pemantauan yang telah dijalankan menerusi aspek kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan dari perspektif pemantau.

Kekuatan:
Umumnya pegawai yang memantau menjelaskan semuanya dalam keadaan baik dan mereka amat berpuas hati dengan keadaan kantin dari aspek pengurusan fail, proses penyediaan makanan dan kebersihan dan keceriaan kantin. Namun dalam masa yang sama mereka memaklumkan kantin-kantin sekolah lain yang tersenarai ke peringkat kebangsaan turut sama bersaing dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan. Bagaimana pun terdapat beberapa kelainan yang dinyatakan sebagai kekuatan tambahan kepada kantin sekolah ini seperti yang disenaraikan dalam fail unit.

Kelemahan:
Terdapat pelbagai komentar yang kurang positif telah disebutkan di mana kelemahan-kelemahan itu dilihat sebagai sesuatu yang kecil dan remeh namun memberikan impak besar kepada pengurusan kantin terutamanya jika dinobatkan sebagai johan kelak. Ianya seperti yang disenaraikan dalam fail unit.

Cadangan penambahbaikan:
Daripada pemantauan yang dijalankan secara keseluruhan, terdapat pelbagai cadangan yang telah dikemukakan oleh pasukan pemantau seperti yang disenaraikan di dalam fail unit.

Penutup:
Daripada pemantauan dan penilaian yang dijalankan, pihak sekolah amat berterima kasih kepada pasukan pemantau atas teguran, cadangan dan saranan yang diberikan mengenai kantin. Walaupun tidak diberikan harapan kemenangan, pihak sekolah berharap agar penjurian ini dapat menjadi penguat semangan untuk pihak sekolah memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

Sekian, terima kasih.

Taklimat sebelum pemantauan dijalankan.

Mula terpegun dengan keceriaan kantin? :D

Wakil PPD hadir memberi sokongan kepada SKTS.

Murid yang membasuk tangan dengan 7 langkah yang dijadikan amalan.

Penjuri melihat alat pemusnah serangga, namun entah apa silapnya, ia tidak pula berfungsi pada hari itu.

Penjuri menemuramah murid. 

Penjuri bertanyakan murid mengenai air minuman.

Penjuri memeriksan bahagian dapur kantin.

AJK Kantin ditemuramah oleh penjuri.

Cenderamata tanda kenangan.

Bergambar tanda kenangan.

Khamis, 17 Januari 2013

PEMANTAUAN & PENILAIAN KANTIN DARI PKD SEPANG


LAPORAN PEMANTAUAN DARIPADA PEGAWAI KESIHATAN TERHADAP PROSES PENYEDIAAN MAKANAN 2013

Pendahuluan:
Kantin merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah sebagai tempat untuk warga sekolah khususnya murid untuk beristirehat pada waktu rehat. Di sini murid akan mendapatkan makanan dan minuman yang disediakan dengan harga yang berpatutan. Pengusaha kantin yang dilantik oleh pihak sekolah harus menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggannya dari kalangan warga sekolah. Persekitaran kantin yang bersih dan kondusif juga memainkan peranan penting selain cara penyediaan makanan yang mengikut prosuder dan speksifikasi yang disarankan oleh pihak sekolah.


Laporan:
Pada hari Rabu, 16 Januari 2013, pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah hadir membuat pemantauan ke SKTS untuk meninjau pengurusan keselamatan di sekolah meliputi pelan kecemasan, bilik kesihatan ternasuk premis penyediaan makanan. Untuk tinjauan ke atas premis penyediaan makanan ia merangkumi kantin sekolah dan dapur bagi dua buah pra-sekolah.  Ia merupakan pemantauan berkala secara tahunan yang telah dihadiri oleh dua orang pegawai pada jam 9.00 pagi di mana Encik Mohd Suhaimi bin Mohd Nizam selaku ketua unit kantin mewakili Unit Hal Ehwal Murid telah mengiringi pegawai bertugas sepanjang pemantauan dijalankan meliputi kawasan kantin, Pra Sekolah Tunas Harapan dan Tunas Permata. Pemantauan yang dijalankan ini bertujuan bagi memastikan proses penyediaan makanan dilakukan mengikut prosuder yang betul selain memastikan kebersihan kantin berada di tahap yang memuaskan.

Keputusan pemantauan:

Hasil daripada pemantauan yang dijalankan di ketiga-tiga kawasan, didapati semuanya dalam keadaan baik dan terkawal. Namun terdapat beberapa perkara yang harus diambil perhatian bagi memastikan kantin (serta dua dapur pra sekolah) berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada kemungkinan-kemungkinan yang boleh membawa kemudharatan kepada pelanggan dari kalangan murid dan kakitangan sekolah.



Antara teguran dan saranan yang dimaklumkan adalah: 

Di kantin.


Pemakaian gelang tangan semasa pengendalian makanan – seorang pekerja kantin memakai gelang tangan semasa menyediakan makanan.

Penggunaan perkakasan dapur yang berpotensi untuk tercemar iaitu penggelek doh dan mesen pengisar – penggelek doh daripada kayu perlu diganti kepada bahan plastik.

Perangkap tikus yang tidak digunakan secara efektif – perlu ada umpan dalam perangkap tikus walau pun tiada tikus.



 Di Pra-Sekolah A (Tunas Harapan):

Penggunaan paip yang tidak efektif – elakkan menggunakan saluran getah kerana ia antara punca pengumpulan bakteria.

Peralatan digunakan harus dipastikan dicuci bersih.

Pegawai pemantau mengingatkan pembantu murid agar sentiasa menjaga kesihatan. Lain-lain perkara berada dalam keadaan baik dan terkawal. Di akhir pemantauan ini, pegawai pemantau telah memberi markah sebanyak 93% bagi Pra-Sekolah A.   


Di Pra-Sekolah B:

Penggunaan tandas harus digunakan sebaiknya.

Pra-sekolah dan pembantu murid ini walaupun masih baru, namun setiap prosuder dan peraturan harus diikuti bagi mengelakkan wujudnya sebarang kemudharatan sepanjang masa bertugas dan proses penyediaan makananan. Di akhir pemantauan ini, pegawai pemantau telah memberi markah sebanyak 94% bagi Pra- Sekolah B. 



Kesimpulan:
Ketiga-tiga kawasan yang dipantau berada didalam tahap baik namun memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Kesemua pihak dari kalangan pentadbir, guru penyelaras kantin, penguasaha kantin dan juga pembantu murid di pra-sekolah telah diberi penjelasan mengenai keperluan mengikut proseder semasa proses penyediaan makanan. Insya-Allah pada Unit Kantin akan sentiasa bekerjasama dengan pihak terlibat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.












Jumaat, 4 Januari 2013

Kantin di Hari Pertama Persekolahan Tahun 2013

Assalamualaikum.

Selamat kembali ke sekolah kepada semua murid dan guru. Semoga kehadiraan pada sesi persekolahan tahun 2013 memberi kekuatan dan semangat dalam diri masing-masing. Jika dahulu semangat yang utuh semakin luntur, kini kembalikan semangat itu untuk melakar lagi kecemerlangan-kecemerlangan yang telah dicapai pada tahun-tahun sebelumnya. Pada murid baharu terutamanya murid Tahun 1 2013, selamat datang diucapkan.

Untuk tiga hari pertama antara 2-4 Januari 2013, kantin SK Taman Seroja telah beroperasi dengan jayanya. Untuk makluman, pengusaha kantin bagi tahun ini adalah daripada syarikat yang sama seperti tahun lepas iaitu Syarikat L.A Chattering Sdn. Bhd yang mana ia telah beroperasi di sekolah ini buat tahun ke tujuh. Tahniah diucapkan daripada Unit Kantin dan diharapkan agar wujud penambahbaikan daripada tahun-tahun sebelumnya.

Tinjauan untuk minggu pertama persekolahan telah dijalankan seperti biasa melalui pemantauan kendiri oleh pihak pengusaha kantin serta disahkan oleh Unit Kantin di mana terdapat penambahbaikan daripada beberapa aspek iaitu:

1- Tukang masak yang baharu yang khusus menyediakan masakan berat dan panas.
2- Kebersihan dan keceriaan ditambah baik terutamanya lukisan mural di dinding kantin.
3- Perkakasan hidangan yang baharu termasuk rak pinggan dan cawan yang disediakan dalam bilik makan guru.
4- Menu masakan yang pelbagai dan ada penyediaan ulangan atau tambahan jika hidangan pertama telah habis sebagai alternatif terutamanya untuk guru dan murid Tahap 2.
5- Meja dan kerusi ada penambahan yang dibeli oleh piahk sekolah iaitu sebanyak 10 buah meja dan 20 buah kerusi bangku untuk kemudahan murid yang boleh memuatkan 400 orang murid dalam satu sesi rehat.
6- Mengurangkan penggunaan plastik kepada murid terutamanya plastik minuman bagi mengelakkan adanya sampah yang di buang di merata-rata tempat semasa waktu rehat.

Berikut dipaparkan foto-foto yang menggambarkan panorama dan situasi waktu rehat di kantin sekolah.

Guru-guru menikmati hidangan.

En. Suhaimi Osman sedang memperkenalkan kantin kepada murid Tahun 1. 

Murid membeli makanan. Masih tidak beratur sepenuhnya.

Tersenyum simpul tanda puas hati dengan perkhidmatan kantin tahun ini? 

Perhimpunan rasmi di hari pertama persekolahan sesi 2013.

Ibu bapa murid membantu murid (anak sendiri) membeli makanan.

Ibu bapa menemani anak makan pada waktu rehat.



Khamis, 6 September 2012

GOTONG ROYONG PERSIAPAN



Pengenalan:

Program gotong-royong ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan yang menggabungkan kerjasama antara Unit Kantin dan Pengusaha kantin. Program ini sebenarnya telah dirancang untuk dijalankan pada bulan Mei, namun atas kekangan masa, program ini akhirnya terlaksana dijalankan pada 5 September 2012 pada hari Rabu jam 3.30 petang. Ia juga bertitik tolak daripada surat yang dikirimkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Selangor yang memaklumkan kantin sekolah ini terpilih untuk mewakili Daerah Sepang ke pertandingan kantin terbersih dalam kategori bandar.


Matlamat:

Memberishkan dan menceriakan kantin untuk memenuhi piawaian ke pertandingan kantin terbersih peringkat Negeri Selangor.



Objektif:

-        Memastikan kantin sentiasa dalam keadaan bersih dan ceria.
-        Melengkapkan kantin dengan bahan-bahan ilmu
-        Mencetuskan sikap bertoleransi dan tolong menolong antara pihak sekolah dan pengusaha kantin.

Kekuatan:

Secara keseluruhan, program gotong royong ini berjalan dengan baik. Antara faktor penyumbang kepada keberkesanan program ini adalah seperti berikut:

-        Pengagihan tugasan diberikan secara sistematik dan teratur serta wujud keadaan saling berteloransi dan bekerjasama antara satu sama lain.

-        Kerjasama daripada pihak penguasa kantin yang turut serta dalam program ini untuk mencapai misi yang sama iaitu mendapat Johan dalam pertandingan ini.

-        Sikap positif semua pihak yang terlibat untuk melaungkan masa dan tenaga dalam program ini teritamanya dengan sokongan moral oleh pihak pentadbir.


Kelemahan:

Walaupun program gotong royong ini berjaya dilaksanakan, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diambil perhatian. Kelemahan-kelemahan itu adalah seperti berikut:

-        Kekangan masa dan waktu untuk meluangkan lebih banyak masa dalam program sekitar 2 jam ini.

-        Kekangan kewangan untuk mendapatkan bahan bagi mencerikana lagi kawasan persekitaran kantin.

-        Tiada kerjasama antara guru dan murid seperti mana program gotong-royong pada tahun sebelumnya kerana pada waktu ini murid dalam persediaan untuk menduduki peperiksaan dan ujian bulanan.

Cadangan penambahbaikan:

Daripada kekuatan dan kelemahan daripada program gotong royong yang telah dijalankan, terdapat beberapa cadangan penambaikan bagi memastikan program sebegini yang akan dijalankan pada masa depan memberi impak yang besar dan menyeluruh:

-        Peralatan dan sumber kewangan yang mencukupi.

-        Kerjasama antara guru-pengusaha kantin-murid untuk mewujudkan sikap kerjasama antara wakga sekolah.


-        Dapatkan kerjasama daripada pihak lain seperti ibubapa murid dan masyarakat setempat. Ini disebabkan sekolah merupakan premis awam yang perlu dijaga oleh semua pihak.


Kesimpulan:

Daripada program gotong royong yang dilaksanakan ini diharapkan semua pihak yang terlibat terutamanya dari kalangan guru dan murid supaya dapat mengambil inisiatif untuk terus menjaga dan memelihara kebersihan sekolah. Dengan keberkesanan program ini diharapkan akan ada program-program lain sebegini dapat dilaksanakan supaya setiap warga sekolah dapat memahami betapa mengekalkan kebersihan ini amat penting bagi memastikan kehidupan lebih selesa tanpa adanya masalah pencemaran dan penyakit yang berpunca daripada masalah tidak menjaga kebersihan persekitaran.