Memaparkan catatan dengan label KESIHATAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KESIHATAN. Papar semua catatan

Khamis, 17 Januari 2013

PEMANTAUAN & PENILAIAN KANTIN DARI PKD SEPANG


LAPORAN PEMANTAUAN DARIPADA PEGAWAI KESIHATAN TERHADAP PROSES PENYEDIAAN MAKANAN 2013

Pendahuluan:
Kantin merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah sebagai tempat untuk warga sekolah khususnya murid untuk beristirehat pada waktu rehat. Di sini murid akan mendapatkan makanan dan minuman yang disediakan dengan harga yang berpatutan. Pengusaha kantin yang dilantik oleh pihak sekolah harus menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggannya dari kalangan warga sekolah. Persekitaran kantin yang bersih dan kondusif juga memainkan peranan penting selain cara penyediaan makanan yang mengikut prosuder dan speksifikasi yang disarankan oleh pihak sekolah.


Laporan:
Pada hari Rabu, 16 Januari 2013, pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah hadir membuat pemantauan ke SKTS untuk meninjau pengurusan keselamatan di sekolah meliputi pelan kecemasan, bilik kesihatan ternasuk premis penyediaan makanan. Untuk tinjauan ke atas premis penyediaan makanan ia merangkumi kantin sekolah dan dapur bagi dua buah pra-sekolah.  Ia merupakan pemantauan berkala secara tahunan yang telah dihadiri oleh dua orang pegawai pada jam 9.00 pagi di mana Encik Mohd Suhaimi bin Mohd Nizam selaku ketua unit kantin mewakili Unit Hal Ehwal Murid telah mengiringi pegawai bertugas sepanjang pemantauan dijalankan meliputi kawasan kantin, Pra Sekolah Tunas Harapan dan Tunas Permata. Pemantauan yang dijalankan ini bertujuan bagi memastikan proses penyediaan makanan dilakukan mengikut prosuder yang betul selain memastikan kebersihan kantin berada di tahap yang memuaskan.

Keputusan pemantauan:

Hasil daripada pemantauan yang dijalankan di ketiga-tiga kawasan, didapati semuanya dalam keadaan baik dan terkawal. Namun terdapat beberapa perkara yang harus diambil perhatian bagi memastikan kantin (serta dua dapur pra sekolah) berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada kemungkinan-kemungkinan yang boleh membawa kemudharatan kepada pelanggan dari kalangan murid dan kakitangan sekolah.



Antara teguran dan saranan yang dimaklumkan adalah: 

Di kantin.


Pemakaian gelang tangan semasa pengendalian makanan – seorang pekerja kantin memakai gelang tangan semasa menyediakan makanan.

Penggunaan perkakasan dapur yang berpotensi untuk tercemar iaitu penggelek doh dan mesen pengisar – penggelek doh daripada kayu perlu diganti kepada bahan plastik.

Perangkap tikus yang tidak digunakan secara efektif – perlu ada umpan dalam perangkap tikus walau pun tiada tikus.



 Di Pra-Sekolah A (Tunas Harapan):

Penggunaan paip yang tidak efektif – elakkan menggunakan saluran getah kerana ia antara punca pengumpulan bakteria.

Peralatan digunakan harus dipastikan dicuci bersih.

Pegawai pemantau mengingatkan pembantu murid agar sentiasa menjaga kesihatan. Lain-lain perkara berada dalam keadaan baik dan terkawal. Di akhir pemantauan ini, pegawai pemantau telah memberi markah sebanyak 93% bagi Pra-Sekolah A.   


Di Pra-Sekolah B:

Penggunaan tandas harus digunakan sebaiknya.

Pra-sekolah dan pembantu murid ini walaupun masih baru, namun setiap prosuder dan peraturan harus diikuti bagi mengelakkan wujudnya sebarang kemudharatan sepanjang masa bertugas dan proses penyediaan makananan. Di akhir pemantauan ini, pegawai pemantau telah memberi markah sebanyak 94% bagi Pra- Sekolah B. 



Kesimpulan:
Ketiga-tiga kawasan yang dipantau berada didalam tahap baik namun memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Kesemua pihak dari kalangan pentadbir, guru penyelaras kantin, penguasaha kantin dan juga pembantu murid di pra-sekolah telah diberi penjelasan mengenai keperluan mengikut proseder semasa proses penyediaan makanan. Insya-Allah pada Unit Kantin akan sentiasa bekerjasama dengan pihak terlibat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.












Ahad, 16 September 2012

KANAK-KANAK OBESITI: TIDAK SEKADAR PERANAN PIHAK SEKOLAH

 




































Masalah obesiti yang membelenggu ramai kanak-kanak masa kini merupakan masalah kesihatan yang serius. Obesiti bukan sesuatu yang baik terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Tentu saja ia berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang dengan keperluan diri mereka. Apatahlagi jika makanan yang diambil itu bukanlah bersumberkan nutrisi yang sepatutnya malah memberi kesan buruk terhadap diri mereka.  Semua ini berpunca daripada pengambilan makanan ringan seperti gula-gula, coklat, air bikarbonat, jajan dan lain-lain. Selain itu makanan makanan segera juga turut menyumbang kepada masalah itu yang kebanyakannya kaya dengan minyak dan garam yang tinggi.

Ada dua isu yang dibangkitkan melalui laporan itu iaitu desakan kepada pengusaha kantin atau koperasi di sekolah-sekolah supaya tidak menjual makanan ringan dan makan makanan segera serta penjaja-penjaja yang berada di sekitar pagar sekolah. Yang keduanya adalah cadangan supaya berat badan murid diukur dan dicatatkan oleh pihak sekolah setiap bulan yang tentu saja bersandar kepada guru kelas.

Persoalannya di sini, mengapa tindakan-tindakan itu ditujukan kepada sekolah yang dilihat sebagai satu cara mengekang nafsu makan murid yang memang sukakan makanan-makanan sedemikian? Tidakkah diperhatikan bahawasanya didikan kepada anak-anak untuk menghindarkan makanan ringan dan makanan segera di rumah juga adalah perlu malah harus lebih ditekankan lantaran banyak masa mereka berada di rumah berbanding sekolah.

Tidak dinafikan kedapatan penjualan makanan ringan dan makanan segera di premis sekolah, tetapi ia tidaklah begitu serius bahkan penjualannya adalah terhad. Ini disebabkan pihak pentadbiran sekolah sendiri akan memantau penjualan makanan kepada murid selain keprihatinan daripada ibu bapa murid yang sentiasa membuat laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap penjualan makanan di sekolah-sekolah. Manakala kepada penjaja-penjaja di luar pagar, ia berada di luar bidang kuasa pentadbiran sekolah  dan ianya memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk menanganinya.

Soalnya, mengapa tidak dinyatakan juga perkara yang sama kepada ibu bapa supaya menjaga pemakanan anak-anak mereka? Sebenarnya latihan di rumah amat penting lebih-lebih lagi dipupuk sedari kecil supaya mereka terdidik dan terbiasa untuk menghindari makanan ringan dan makanan segera. Dalam pada mengelakkan mereka dengan makanan-makanan tidak berkhasiat itu, berikan juga maklumat pemakanan yang betul kepada mereka mengikut tahap yang sesuai. Kadang kala menegah itu akan menimbulkan persoalan di fikiran mereka, jadi dengan hikmah ibu bapa boleh menerangkan serba sedikit tentang pemakanan yang betul kepada mereka. Jika di sekolah, sememangnya mereka diberi pendedahan. Namun, apabila di rumah ibu bapalah yang harus memastikan apa yang dipelajari murid diamalkan sebaiknya.

Bila mana anak-anak telah dilatih sebegini maka ia tidak lagi menjadi masalah tatkala mereka berada di mana-mana saja pun. Dalam tahap ini, tentu ibu bapa tidak akan risau malah boleh mempercayai anak-anak mereka sendiri dalam membelanjakan wang membeli makanan di sekolah atau di mana saja pun. Jangan pula menunding jari kepada sekolah semata-mata seolah-olah memperlihatkan masalah obesity murid adalah berpunca daripada sekolah.

Berkenaan cadangan supaya pihak sekolah mencatatkan berat badan murid untuk setiap bulan, kelihatan satu cadangan yang meluaskan skop tugas guru itu sendiri. Memang selama ini pihak sekolah melalui guru kelas ada merekodkan berat badan dan ketinggian murid, tetapi bukanlah untuk setiap bulan seperti mana yang dicadangkan. Catatan untuk dua kali setahun dilihat sudah cukup dan untuk melakukannya setiap bulan boleh jadi ia menambah lagi kepelbagaian tugas guru masa kini. Apa kata ibu bapa di rumah juga mengambil inisiatif untuk memantau berat badan anak-anak mereka agar pencegahan langsung dapat dilakukan bagi mengelakkan berlakunya masalah obesiti kepada anak-anak mereka.
 
Kesimpulannya, setiap hal berkaitan kanak-kanak tidak seharusnya menjadi tanggungjawab sekolah semata-mata. Pihak ibu bapa dan masyarakat amnya seharusnya bersama-sama membantu untuk memastikan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dapat di atasi. Peranan daripada pihak kerajaan melalui kementerian kesihatan dan agensi lain yang berkelayakan juga harus diwujudkan. Tentu sahaja penjelasan lanjut mengenai pemakanan sihat boleh diberikan melalui anjuran pelbagai program dalam kempen untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Semua itu adalah atas satu matlamat yang sama, demi melahirkan generasi yang cerdas dan cergas dan tentu saja dengan akal yang cerdas dan fizikal yang cergas itu adalah hasil daripada sumber pemakanan yang baik.
 
 

Sabtu, 15 September 2012

NUTRIEN DARIPADA PEMAKANAN SEIMBANG

Pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang hendak dimakan dengan tujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul. Kekurangan nutrien boleh menyebabkan berlakunya malnutrisi.


Karbohidrat

Karbohidrat menyediakan sumber tenaga yang utama yang diserap segera ke dalam sistem tubuh manusia. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50% daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia. Karbohidrat terdiri daripada gula (gula, glukos, sirap, madu, laktos), kanji (tepung gandum, kanji, kentang, ubi kayu dan kanji tulin koko) dan beberapa selulosa, gam dan pektin. Karbohidrat banyak terdapat dalam bijiran seperti beras, gandum, dan sepertinya.

Protein

Protein mengandungi beberapa zat seperti asid amino. Protein kelas pertama kebanyakannya boleh diperolehi daripada haiwan. Sementara protein sayuran pula mengandungi protein kelas kedua dan sedikit protein kelas pertama.

Lemak

Lemak menyediakan lebih dua kali ganda nilai kalori yang diperolehi daripada karbohidrat dan menjadi sumber utama lemak tubuh. Sebenarnya lemak penting kepada manusia kerana merupakan tenaga yang tersimpan di dalam tubuh yang diperlukan untuk menjalankan sebarang aktiviti.Selain itu,lemak berperanan sebagai penebat dengan menghalang haba keluar daripada badan dan membantu memanaskan badan apabila seseorang terdedah kepada suhu persekitaran yang terlalu sejuk. Secara purata, lemak membekalkan 355 daripada pengambilan tenaga. Lemak juga mengandungi vitamin larut lemak dan asid lemak yang penting kepada penyatuan selaput sel.
Pengambilam lemak yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan badan.Hal ini kerana lemak yang tidak digunakan akan disimpan dalam badan dan menyebabkan berat badan bertambah dan menjadikan seseorang itu gemuk.Lemak yang berlebihan juga boleh menyebabkan saluran arteri tersumbat dan menyebabkan penyakit jantung koronari.

Galian

Zat galian yang mengandungi kompaun bukan organik yang penting kepada pemakanan manusia. Ia berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral banyak terdapat dalam susu dan telur. Ia juga banyak terdapat dalam buah dan sayuran.

Vitamin

Vitamin adalah bahan kimia yang terkandung dalam kebanyakan makanan. Ia membantu tubuh mengurai dan menggunakan unsur asas makanan, protein, karbohidrat dan lemak. Sesetengah vitamin turut terbabit dalam penghasilan sel darah, hormon, bahan genetik dan kimia dalam system saraf. Tidak seperti karbohidrat, protein dan lemak, vitamin dan mineral tidak membekalkan kalori tetapi membantu badan mendapatkan tenaga dari tubuh. Maka pengambilan protein amat penting untuk kesihatan tubuh badan.

Serat

Serat atau serabut dalam diet permakanan membantu penghadaman dan mengelak sembelit. Sayuran dan buah segar (termasuk buah kering) dan bijiran merupakan sumber serat penting. Untuk meningkatkan kebaikan serat, amat penting untuk minum banyak air.

Selasa, 19 Jun 2012

KEMPEN PEMAKANAN SIHAT


PENDAHULUAN:

Kebanyakan proses tumbesaran termasuk perkembangan mata, minda, pertumbuhan fizikal dan pembelajaran berlaku ketika di peringkat kanak-kanak dan ini boleh diperoleh menerusi pengambilan pemakanan. Di peringkat ini, tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang sangat penting bukan saja untuk fizikal tetapi minda kanak-kanak.

Memupuk tabiat makan yang sihat menerusi diet seimbang sejak dari kecil adalah penting bagi kanak-kanak membina asas yang sihat. Antara yang diperlukan anak bagi zat pemakanan sihat ialah zat besi, zink, kalsium, iodin dan vitamin A. Kekurangan zat makanan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kanak-kanak.

OBJEKTIF:

Diharapkan murid-murid dapat;
1.      Mengenal makanan yang sihat dan seimbang yang dibeli samada di kantin sekolah atau di luar sekolah.
2.      Mengambil makanan yang sihat dan seimbang untuk dimakan serta mengurangkan makan makanan segera dan ringan.
3.      Mengetahui keperluan makanan berzat pada diri supaya dapat memberi tumpuan dalam pelajaran, badan sihat dan otak cergas.


PERLAKSANAAN:

Kempen Makan Makanan Sihat Dan Seimbang Kurangkan Makanan Segera Dan Ringan telah disampaikan oleh salah seorang Doktor Muda Sekolah Kebangsaan Taman Seroja iaitu Adik Mohd. Afiq Akmal. Kempen tersebut hanya mengambil masa 10 minit sahaja.
Perkara yang disampaikan ialah:
        i.          Maksud makanan sihat dan seimbang iaitu makanan yang mengandungi  komposisi karborhidrat, protein, lemak, vitamin, mineral, garam, gula dan serat.
      ii.          Maksud makanan segera atau fast food dan ringan  atau snek (snack foods) , snek kurang zat (junk foods)
    iii.          Contoh makanan sihat dan seimbang ialah buah-buahan, sayur-sayuran, roti, bijirin dan lain-lain.
     iv.          Contoh makanan segera dan ringan ialah burger, nuget, gula-gula, minuman berkarbonat dan lain-lain
       v.          Kesan makan makanan sihat dan seimbang iaitu otak cergas, badan sihat, sentiasa gembira dan lain-lain.
     vi.          Kesan makan makanan segera dan ringan iaitu obesiti, lemah daya ingatan, badan tidak cergas dan lain-lain.

KESIMPULAN:

Amalan pemakanan sihat dan seimbang akan memberi kesan yang baik kepada individu terutama murid-murid semasa menjalankan aktiviti pembelajaran di sekolah dan juga di dalam aktiviti kokorikulum. Badan sihat akan menjadikan otak cergas. Amalan banyak mengambil makanan segera dan ringan yang mudah disediakan akan mengundang obesiti dan juga kekurangan zat di dalam badan.



Rabu, 13 Jun 2012

PROJEK REPLIKA PIRAMID MAKANAN




PENDAHULUAN:
Unit Kantin dengan kerjasama Unit Kesihatan telah membuat sebuah inovasi yang berhubungkait dengan kesihatan menerusi aspek pemakanan iaitu replica pyramid makanan. replika ini juga lahir hasil daripada cetusan beberapa orang guru sekolah ini yang prihatin dengan fenomena tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak iaitu masalah obesiti.

MATLAMAT:
Mendedahkan informasi berkenaan pemakanan seimbang kepada murid sekaligus mengaplikasikannya dalam penhambilan makanan seharian.

OBJEKTIF:
1.     Mendedahkan murid berkaitan pemakanan seimbang melalui piramid makanan.
2.     Memberi kefahaman kepada murid mengenai nutrisi yang terkandung dalam makanan.
3.     Mewujudkan kerja sama dan toleransi dalam kalangan guru dan murid yang terlibat dengan projek ini.
4.     Menjadikannya sebagai panduan kepada kantin untuk memastikan kesihatan dan pemakanan sihat disediakan kepada murid.
5.     Sebagai lambang identiti kantin apabila diletakkan di dalam bangunan kantin.

TEMA:
“Makanan Seimbang Sumber Kekuatan Tubuh Badan dan Ketajaman Akal Fikiran”.

KERJASAMA:
1.     Unit Kantin
2.     Unit Kesihatan
3.     Kelab Doktor Muda



JAWATANKUASA PROJEK:
Penasihat                         : Puan Hajjah Noredzan binti A. Bakar (Guru Besar)
Pengerusi                         : Puan Zaitun binti Baharuddin (GPK HEM)
  Encik Roslee bin Abdul Wahab (GPK 1) 
                                         Puan Norasikin binti Adnan (GPK Kokurikulum)
Penyelaras Program         : Encik Mohd Suhaimi bin Mohd Nizam
Penyelaras Bersama         : Puan Nafsiah binti Tamzir.
Setiausaha                       : Puan Suzita binti Wahil
                                        : Puan Hasliza binti Bakar
Ahli Jawatankuasa            : AJK Unit Kantin
                                         AJK Unit Kesihatan
                                         AJK Kelab Doktor Muda
                                        

KERANGKA KERJA PROJEK:



KEKUATAN:

1.     Mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak iaitu guru dari segi idea, murid dari segi tenaga kerja dan penguasaha kantin serta ibu bapa dari aspek bahan projek.
2.     Pihak pentadbir member kerjasama dengan memberikan peruntukan bagi menjalankan projek ini.
3.     Murid-murid yang terlibat merasa teruja untuk menjalankan projek ini.




KELEMAHAN:

1.     Kesuntukan masa membuatkan replika yang dihasilkan tidak berapa besar dan canggih.
2.     Replika yang dipamerkan di kantin kadang kala rosak dan perlu diperbaiki disebabkan faktor murid.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN:

1.     Replika berkaitan kesihatan dan pemakanan seimbang harus dibuat lebih banyak dan kreatif.
2.     Libatkan unit-unit lain melalui penganjuran pertandingan untuk membina pelbagai bentuk replika.
3.     Beri nasihat dan pesanan kepada murid yang suka ‘bermain-main’ dengan replika ini.

                                                                                                      
PENUTUP:

Melalui projek ini akhirnya matlamat dan objektif yang digariskan tercapai walaupun wujud beberapa kelemahannya di sebalik kekuatan yang ada. Cadangan penambahbaikan juga diharapkan dapat direalisasikan pada masa depan.