Rabu, 20 Februari 2013

LAWATAN DELEGASI DARIPADA PEJABAT KESIHATAN DAERAH KUALA SELANGOR


Kantin SK Taman Seroja telah menerima kunjungan delegasi daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor pada 19 Februari 2013. Delegasi ini terdiri daripada lapan orang iaitu pegawai kesihatan, guru sekolah dan pengusaha kantin. Kunjungan itu bertujuan untuk bertukar-tukar maklumat di mana pihak delegasi ingin mengambil informasi daripada SKTS mengenai pengalaman menyertai pertandingan kantin bersih pada tahun 2012. Ia berikutan kantin SKTS mendapat tempat kedua di peringkat negeri sekaligus tercalon ke peringkat kebangsaan.

            Dalam lawatan sejak jam 9.00 pagi, tetamu telah diberikan taklimat oleh Puan Besar di bilik mesyuarat mengenai kantin secara umum. Sejurus itu, para  tetamu telah dibawa ke premis kantin semasa waktu rehat Tahap 2 sedang berlangsung. Para tetamu kelihatan teruja apabila melangkah kaki ke kantin di mana kebanyakan daripada mereka asyik merakamkan foto-foto di seluruh ruang kantin.

            Dalam lawatan itu juga, para tetamu telah dilayan baik oleh pihak penguasaha kantin dengan membenarkan mereka memasuki ke kawasan dapur, pejabat dan stor penyimpanan makanan. Selain itu para tetamu telah mengutarakan pelbagai pertanyaan berhubung dengan pengurusan kantin yang meliputi penyediaan makanan, fail-fail dan sebagainya. Para tetamu juga sempat meninggalkan komentar dan cadangan di dalam buku pelawat yang disediakan oleh pihak kantin.

            Sebelum lawatan berakhir, para tetamu telah dihidangkan dengan jamuan kecil di bilik makan guru diikuti dengan acara bergambar kenangan bersama para tetamu dan wakil SKTS yang terdiri daripada pentadbir, jawatankuasa kantin dan pengusaha kantin. Acara bertukar cendera mata juga telah dilakukan sebelum para tetamu berangkat meninggalkan SKTS pada jam 12.00 tengah hari.

Sekian, terima kasih.