Khamis, 1 November 2012

LAPORAN PEMANTAUAN PERTANDINGAN KANTIN TERBERSIH BAGI PENJURIAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN


PENDAHULUAN:
Kantin SK Taman Seroja telah menerima kunjungan daripada pasukan pemantau yang terdiri daripada dua orang pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan lima orang krew rakaman yang bertujuan untuk memantau kantin bagi penjurian kantin terbersih peringkat kebangsaan. 

Kehadiran mereka amat dialu-alukan setelah pihak sekolah mendapat maklumat di saat-saat akhir daripada Pegawai Teknologi Makanan JDK Sepang semalam yang menyerahkan surat berhubung penyenaraian kantin SK Taman Seroja dalam kategori bandar yang tercalon untuk dibawa ke peringkat kebangsaan. 



Pasukan pemantau dalam kalangan krew rakaman telah berada di kantin sekolah sejak jam 7:00 pagi bagi membuat persediaan rakaman keseluruhan kantin yang bermula dari proses penyediaan makanan, memasak, menghidang, menjual, menggemas termasuk keadaan semasa rehat murid dan guru.

Dalam masa yang sama, Unit Kantin telah mengalu-alukan kehadiran dua orang pegawai kesihatan ke bilik gerakan sekolah untuk memberi taklimat mengenai pengurusan kantin dan gambaran kantin secara umum sebelum pemantauan dan penilaian dilakukan. Slot selama 20 minit dilihat sebagai cara untuk pihak sekolah melalui Unit Kantin mempromosi kantin sekaligus membentangkan latarbelakang kantin, pengurusan unit dan fail serta menjelaskan program-program pembangunan yang telah dijalankan sepanjang tiga tahun kebelakangan. 

Seterusnya, berikut merupakan laporan yang diterima daripada pihak pemantau hasil daripada pemantauan yang telah dijalankan menerusi aspek kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan dari perspektif pemantau.


Kekuatan:
Umumnya pegawai yang memantau menjelaskan semuanya dalam keadaan baik dan mereka amat berpuas hati dengan keadaan kantin dari aspek pengurusan fail, proses penyediaan makanan dan kebersihan dan keceriaan kantin. Namun dalam masa yang sama mereka memaklumkan kantin-kantin sekolah lain yang tersenarai ke peringkat kebangsaan turut sama bersaing dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan. Bagaimana pun terdapat beberapa kelainan yang dinyatakan sebagai kekuatan tambahan kepada kantin sekolah ini.

1.     CCTV yang diletakkan di dapur kantin.
2.     Skrin Informasi Eletronik.
3.     Perangkap lalat eletronik
4.     Blog kantin yang khusus.
5.     Penilaian sensori (pemeriksaan menu harian) oleh guru bertugas.

Kelemahan:
Walaupun tidak wujud kelemahan yang nyata sepanjang proses pemantauan, terdapat juga beberapa komentar yang memperlihatkan kelemahan kantin namun ia disifatkan oleh pegawai pemantau sebagai kelemahan minor.
1.     Susunan pinggan-pinggan yang berisi mee goreng diletakkan bertindih.
2.     Susunan kuih di pondok jualan sedikit jauh dari capaian tangan kebanyakan murid.

Cadangan penambahbaikan:
Daripada pemantauan yang dijalankan secara keseluruhan, satu cadangan penambahbaikan yang disebut adalah mengenai skrin informasi eletronik di mana melalui temuramahnya dengan seorang murid di kantin mengenai skrin berkenaan, paparan yang dimuatkan tidak dapat dilihat dari jarak yang jauh. Untuk itu mereka mencadangkan agar skrin 42” digunakan pada masa depan.

Penutup:
Daripada pemantauan dan penilaian yang dijalankan, pihak sekolah amat berterima kasih kepada pasukan pemantau atas teguran, cadangan dan saranan yang diberikan mengenai kantin. Walaupun tidak diberikan harapan kemenangan, pihak sekolah berharap agar rakaman video yang dibuat dapat memberi gambaran lanjut yang positif semasa penjurian yang dijalankan di peringkat kebangsaan kelak. Pemantauan berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan sesi jamuan sebagai penutupnya


Sekian, terima kasih.

































Rabu, 31 Oktober 2012

PRA-PEMANTAUAN DARIPADA PEGAWAI TEKNOLOGI MAKANAN DAERAH

Terima kasih kepada Puan Suraya Hani, Pegawai Teknologi Makanan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang yang hadir membuat pra-pemantauan ke atas kantin SKTS sebelum pemantauan kali kedua dijalankan sebagai saringan kepada pencalonan pertandingan kantin ke peringkat kebangsaan. Walaupun dalam keadaan sekolah yang sedang sibuk dengan pelbagai urusan di akhir tahun, pertandingan kantin yang disertai ini ini kami anggap sebagai satu cabaran dan amanah dalam membawa nama daerah dan negeri ke peringkat yang seterusnya.

Menerusi Puan Suraya Hani, kami memperolehi beberapa maklumat berkaitan pemantauan esok hari terutamanya mengenai sesi fotografi dan rakaman video oleh pihak pemantau. Antara lain beberapa penambahbaikan turut disentuh bagi memastikan kantin dalam keadaan baik dari segala aspek terutamanya dalam aspek berkaitan pengendalian makanan dan dapur. Dari aspek keceriaan dan lain-lain, beliau akui ia sudah cukup untuk menarik perhatian pemantau, insya-Allah. 

Untuk esok, kami di SKTS mengaharapkan yang terbaik sekaligus menerima respon positif daripada pihak pemantau. Apa-apa pun, doa dan tawakal tetap berterusan sebagai usaha terakhir setelah berusaha memantapkan kantin dalam setiap aspek seperti aspek pengendalian makanan, pengursan fail dan keceriaan kantin.

Puan Guru Besar mengiringi Puan Suraya ke kantin.

Puan Suraya bersemuka dengan Puan Lamsiah selaku pengusaha kantin.

Puan Suraya memeriksaan perkakasan di dapur termasuk peti sejuk beku.




Puan Suraya memberi panduan berkaitan pengurusan bahan mentah.

Dokumen-dokumen berkaitan disemak sebelum beredar.

Selasa, 30 Oktober 2012

TOP 5 KANTIN TERBAIK SELANGOR & PEMANTAUAN KALI KE-2

Alhamdulillah...Seminggu yang lalu pegawai di PPD menyampaikan khabar gembira buat SKTS amnya. Kantin SKTS berjaya tersenarai dalam top 5 dalam kalangan kantin terbaik negeri Selangor selepas pemantau dijalankan ke puluhan kantin sekitar negeri Selangor sepanjang Oktober. Oleh yang demikian, bagi menentukan juara bagi pertandingan kantin terbaik negeri Selangor, pemantauan kali kedua akan dijalankan sejurus berakhir cuti Raya Korban. SKTS dimaklumkan, pemantauan akan dijalankan pada 29 Oktober, namun pada hari yang ditunggu, tiada mana-mana wakil daripada Jabatan Kesihatan hadir. Bagaimanapun, pada hari ini, sekali lagi pegawai daripada PPD memaklumkan bahawa pemantauan ke kantin SKTS akan dijadualkan pada 1 November 2012. Walaupun dalam kesibukan, kami tetap menantikan kehadiran pemantau seperti yang dijadualkan. Keadaan kantin saat ini masih kekal baik dari aspek keceriaan dan kebersihan. Bagaimana pun, untuk saringan kali kedua yang tentunya ketat dalam kalangan kantin terbaik , kami telah membuat beberapa penambahbaikan dalam beberapa aspek. Antara yang diambil perhatian adalah perkara-perkara yang telah dimaklumkan semasa pemantauan dilakukan dari segi kelemahan dan cadangan penambahbaikan yang dimaklumkan kepada SKTS. Harapan kami, kantin SKTS ini bakal memperolehi keputusan yang dapat menggembirakan seluruh warga SKTS yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik selama ini. Insya-Allah.



Laman Kreatif PIBG digubah semula mengikut tema Aidiladha menggantikan tema sebelum Hari Kanak-Kanak, Merdeka dan Aidilfitri.

Menerbitkan risalah kantin untuk edaran kepada pelawat terutamanya kepada pemantau akan datang.

Isnin, 1 Oktober 2012

LAPORAN PEMANTAUAN KANTIN TERBERSIH 2012

1 Oktober 2012, pasukan pemantau yang terdiri daripada iaitu Encik Mohd Rozali bin Senin dari Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Puan Jamilah binti Ahmad (Pegawai Sains Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor), Puan Siti Naszila binti Abu Talib (PPKP, JKN Selangor) dan Puan Fairuz Aqilah binti Mahmud (PPKP, JKN Selangor).hadir membuat pemeriksaan ke atas kantin lanjutan daripada makluman yang diterima oleh pihak sekolah berhubung dengan pencalonan kantin SK Taman Seroja ke pertandingan kantin terbersih peringkat Negeri Selangor. Kehadiran pasukan ini biarpun dalam keadaan sedikit mengejut namun, pihak sekolah termasuk pihak pengendali kantin sememangnya telah bersedia menerima kehadirannya sejak 18 September lagi. Biarpun tarikh kunjungan dimaklumkan pada 10 Oktober, apa yang terpamer dan tersedia di kantin pada hari ini sudah berada dalam keadaan baik. Gambaran semasa pemantauan dijalankan dapat digambarkan melalui foto-foto yang diambil di bawah ini.

Informasi dipersembahkan secara eletronik.

Taman mini sebagai tanda pemuafakatan ahli-ahli PIBG sekolah.

Slide show yang menarik perhatian pemantau.

Replika Piramid Makanan yang dianggap sebagai inovasi bermaklumat.

Informasi dan maklumat kantin lengkap.

Menu kantin yang memuaskan hati pemantau.

Informasi berkaitan kalori bagi setiap hidangan yang dijual di kantin dipamerkan di atas meja makan murid.

Pemantau merakamkan gambar folder Unit Kantin SKTS.

Pemeriksaan terhadap borang pemantauan kendiri.

Encik Hassan selaku penyelia kantin menunjukkan profil kantin seperti lesen perniagaan dan maklumat pekerja kepada pemantau.

Pemantau meneliti sijil-sijil pencapaian yang diperolehi oleh pihak pengusaha dan  kantin sepanjang berada di SKTS.

Pemantau menegur cara susunan meja di kantin.

Puan Zaitun selaku GPK Hem menyerahkan fail putih yang mengandungi maklumat kantin untuk diteliti oleh pemantau.

Puan Zaitun menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pemantau berkaitan pengurusan kantin sekolah.

Pemantau menyemak fail Unit Kantin dengan bantuan Encik Mohd Suhaimi selaku Ketua Jawatankuasa Unit Kantin.

Puan Guru Besar melayan pemantau di meja makan.

Puan GB dan Puan GPK HEM bersama Encik Ketua Kantin sedang bertungkus lumus menyediakan dokumen dan maklumat yang diperlukan pemantau.

Pemantau berbincang dalam menentukan markah kepada kantin SKTS...?

Pemantau menyemak Buku Pemantaun Kendiri Kantin untuk bulan-bulan terdahulu.

Pemantau sedang meneliti kandungan Blog Kantin dan Web PIBG SKTS yang juga dianggap sebagai sebuah inovasi.

Pemantau menyemak dokumen-dokumen berkaitan kantin yang terdahulu (sejak Tahun 2008) yang diperolehi daripada pejabat sekolah.

Pemantau masih meneliti kandungan blog dan laman sesawang kantin.

Pemantau menggunakan komputer riba Encik Ketua Kantin untuk memindahkan gambar daripada telefon bimbitnya ke thumbdrive. (Maaf la encik, komputer itu sedang meniti usia emasnya..hehe..).

Masih ada maklumat lain yang diperlukan oleh pemantau daripada GPK HEM.




Daripada pemantauan ini, banyak maklum balas positif yang diterima oleh pihak sekolah. Secara keseluruhan kantin SK Taman Seroja ini berada dalam keadaan yang memuaskan terutama dari aspek kebersihan dan keceriaan, keadaan dan suasana di dapur kantin, menu makanan, inovasi baharu dan beberapa x-faktor yang dilihat lain daripada yang laing yang tidak diperolehi di kantin-kantin sekolah lain. 

Namun dalam masa sama wujud komentar negatif daripada pemantau seperti proses pengendalian makanan yang kurang memuaskan, kekurangan dokumen sokongan yang menyokong aktiviti dan program kantin, susunan meja murid di kantin yang kurang efisyen dan sebagainya. Apapun, teguran yang diberikan itu akan diperbaiki dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. 

Unit Kantin dan pihak penguasaha kantin SK Taman Seroja mengharapkan keputusan yang terbaik hasil daripada pemantauan yang telah dijalankan ini. Proses pemantauan yang bermula sejak jam 9.30 pagi berakhir pada jam 12.30 tengah hari.