Khamis, 1 November 2012

LAPORAN PEMANTAUAN PERTANDINGAN KANTIN TERBERSIH BAGI PENJURIAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN


PENDAHULUAN:
Kantin SK Taman Seroja telah menerima kunjungan daripada pasukan pemantau yang terdiri daripada dua orang pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan lima orang krew rakaman yang bertujuan untuk memantau kantin bagi penjurian kantin terbersih peringkat kebangsaan. 

Kehadiran mereka amat dialu-alukan setelah pihak sekolah mendapat maklumat di saat-saat akhir daripada Pegawai Teknologi Makanan JDK Sepang semalam yang menyerahkan surat berhubung penyenaraian kantin SK Taman Seroja dalam kategori bandar yang tercalon untuk dibawa ke peringkat kebangsaan. 



Pasukan pemantau dalam kalangan krew rakaman telah berada di kantin sekolah sejak jam 7:00 pagi bagi membuat persediaan rakaman keseluruhan kantin yang bermula dari proses penyediaan makanan, memasak, menghidang, menjual, menggemas termasuk keadaan semasa rehat murid dan guru.

Dalam masa yang sama, Unit Kantin telah mengalu-alukan kehadiran dua orang pegawai kesihatan ke bilik gerakan sekolah untuk memberi taklimat mengenai pengurusan kantin dan gambaran kantin secara umum sebelum pemantauan dan penilaian dilakukan. Slot selama 20 minit dilihat sebagai cara untuk pihak sekolah melalui Unit Kantin mempromosi kantin sekaligus membentangkan latarbelakang kantin, pengurusan unit dan fail serta menjelaskan program-program pembangunan yang telah dijalankan sepanjang tiga tahun kebelakangan. 

Seterusnya, berikut merupakan laporan yang diterima daripada pihak pemantau hasil daripada pemantauan yang telah dijalankan menerusi aspek kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan dari perspektif pemantau.


Kekuatan:
Umumnya pegawai yang memantau menjelaskan semuanya dalam keadaan baik dan mereka amat berpuas hati dengan keadaan kantin dari aspek pengurusan fail, proses penyediaan makanan dan kebersihan dan keceriaan kantin. Namun dalam masa yang sama mereka memaklumkan kantin-kantin sekolah lain yang tersenarai ke peringkat kebangsaan turut sama bersaing dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan. Bagaimana pun terdapat beberapa kelainan yang dinyatakan sebagai kekuatan tambahan kepada kantin sekolah ini.

1.     CCTV yang diletakkan di dapur kantin.
2.     Skrin Informasi Eletronik.
3.     Perangkap lalat eletronik
4.     Blog kantin yang khusus.
5.     Penilaian sensori (pemeriksaan menu harian) oleh guru bertugas.

Kelemahan:
Walaupun tidak wujud kelemahan yang nyata sepanjang proses pemantauan, terdapat juga beberapa komentar yang memperlihatkan kelemahan kantin namun ia disifatkan oleh pegawai pemantau sebagai kelemahan minor.
1.     Susunan pinggan-pinggan yang berisi mee goreng diletakkan bertindih.
2.     Susunan kuih di pondok jualan sedikit jauh dari capaian tangan kebanyakan murid.

Cadangan penambahbaikan:
Daripada pemantauan yang dijalankan secara keseluruhan, satu cadangan penambahbaikan yang disebut adalah mengenai skrin informasi eletronik di mana melalui temuramahnya dengan seorang murid di kantin mengenai skrin berkenaan, paparan yang dimuatkan tidak dapat dilihat dari jarak yang jauh. Untuk itu mereka mencadangkan agar skrin 42” digunakan pada masa depan.

Penutup:
Daripada pemantauan dan penilaian yang dijalankan, pihak sekolah amat berterima kasih kepada pasukan pemantau atas teguran, cadangan dan saranan yang diberikan mengenai kantin. Walaupun tidak diberikan harapan kemenangan, pihak sekolah berharap agar rakaman video yang dibuat dapat memberi gambaran lanjut yang positif semasa penjurian yang dijalankan di peringkat kebangsaan kelak. Pemantauan berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan sesi jamuan sebagai penutupnya


Sekian, terima kasih.

































Tiada ulasan:

Catat Ulasan