Rabu, 13 Jun 2012

LAPORAN TINJAUAN KEPUASAN PELANGGAN




PENDAHULUAN

Kantin merupakan premis yang beroperasi di dalam kawasan sekolah bagi memenuhi kehendak pelanggan dalam kalangan murid terutamanya untuk mendapatkan juadah dan makanan pada waktu rehat sepanjang sesi persekolahan. Untuk itu kepuasan pelanggan harus diutamakan oleh pihak kantin bagi memastikan makanan yang disediakan menepati kehendak mereka selain sesuai dengan nutrisi yang sihat selain bersih dan mencukupi. Sebagai sebuah unit yang terlibat secara langsung dengan pengurusan kantin, Unit Kantin SKTS di bawah pengurusan Hal Ehwal Murid bertanggungjawab bagi memenuhi kepuasan pelanggan dalam kalangan murid memandangkan kantin sekolah merupakan premis tunggal yang menyediakan makanan buat warga sekolah pada waktu rehat. Untuk itu sebuah tinjauan dilakukan bertujuan bagi meninjau selera pelanggan terhadap menu di kantin.

OBJEKTIF
1.      Mengetahui sumber bekalan makanan murid pada waktu rehat.
2.      Mengenalpasti menu kegemaran dan sebaliknya menurut selera murid.
3.      Mengenalpasti tempat pilihan untuk murid makan pada waktu rehat.
4.      Mengusulkan menu-menu sesuai untuk dibawa ke meja mesyuarat bagi tujuan pembukaan tender baharu kepada pengusaha kantin 2013.

MAKLUMAT TINJAUAN

Sasaran sampel – murid Tahun 1 hingga Tahun 6. 12 buah kelas di pilih secara rawak melibatkan 385 orang murid.

Instrumen tinjauan mengandungi 3 bahagian utama iaitu:
-        Punca dan sumber bekalan makanan waktu rehat.
-        Menu-menu di kantin merangkumi makanan berat, makanan ringan dan minuman.
-        Tempat makan waktu rehat.

Tinjauan dilakukan pada 12 Jun 2012 selepas waktu rehat berakhir.


DAPATAN TINJAUAN

-        Punca dan sumber bekalan makanan murid majoritinya dibeli di kantin yang mewakili 71% berbanding mereka yang membawa bekalan dari rumah sebanyak 14% serta belian di luar kawasan sekolah sebanyak 3%.
-        Makanan berat yang menjadi pilihan murid yang telah dibeli di kantin sekolah adalah nasi lemak dan aneka mee berkuah. Sementara menu nasi ayam tetap digemari ramai berbanding aneka mee bergoring yang kurang digemari murid.
-        Dalam kategori makanan ringan, karipap, kentang goring / wedges dan roti gulung menjadi pilihan ramai. Sementara sandwich, keria / donat dan aneka kek yang terdapat di kantin merupakan menu yang kurang digemari.
-        Minuman berkotak dan bancuhan di dalam tong yang dibeli dengan cawan kecil atau plastik menunjukkan murid tidak ada pilihan lain. untuk itu pelanggan dalam kalangan murid hanya mendapatkan air dari sini selain membawa bekalan minuman dari rumah.
-        Tempat makan pilihan murid, 31% berehat untuk makan di kantin, 13% di dewan dan 55% di lain-lain tempat.


ISU DAN CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

-        Murid Tahap 2 dilaporkan tidak berkesempatan mendapatkan beberapa jenis makanan yang ada semasa Tahap 1 berehat disebabkan menu makanan tersebut habis cepat. Untuk itu dicadangkan ia diperbanyakkan lagi mengikut keperluan daripada dapatan tinjauan ini pada beberapa menu pilihan.
-        Aneka mee yang disediakan dilaporkan ‘kosong’ dan kurang digemari murid. Berkemungkinan jika mee yang disediakan itu ‘diperbaiki’ cara hidangannya, maka ia boleh menjadi pilihan murid pada masa akan datang.
-        Sandwich yang disediakan dilaporkan ‘kosong’. Walaupun begitu ia masih digemari oleh murid Tahap 1 sebagai makanan ringan yang mudah dinikmati semasa rehat.

PENUTUP

Diharapkan agar laporan yang disediakan ini dapat menjadi panduan kepada pihak pengusaha kantin dan juga Unit Kantin untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti untuk diberikan kepada pelanggan dalam kalangan murid selain pada masa yang sama memenuhi kehendak dan keperluan guru-guru SKTS. Dapatan tinjauan ini juga diharapkan dapat memberikan maklumat kepada pihak pentadbir sekolah untuk menilai tahap kualiti perkhidmatan kantin selain membuka ruang perbincangan di antara pihak sekolah dan penguasaha kantin untuk proses penambahbaikan pada masa depan.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan